BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, August 9, 2009

PERKARA ELOK DISEBUT


Dikesempatan ini, saya hendak menarik perhatian tentang 5 perkara yang patut disebut-sebut selalu untuk memberi kesedaran kepada kita sepanjang menjalani hidup ini.

Nabi Muhammad saw pernah mengingatkan umat-umatnya tentang kelima-lima perkara ini iaitu:

  • Perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut makhluk.
    Sudah menjadi kebiasaan bagi kita menyebut atau memuji-muji orang yang berbuat baik kepada kita sehingga kadang-kadang kita terlupa hakikat bahawa terlampau banyak nikmat yang telah Allah berikan kepada kita. Lantaran itu, kita terlupa memuji dan menyebut-nyebut nama Allah. Makhluk yang berbuat baik sedikit kita puji habisan tapi nikmat yang terlalu banyak Allah berikan kita langsung tak ingat. Sebaik-baiknya elok dibasahi lidah kita dengan memuji Allah setiap ketika, bukan ucapan Al-hamdulillah hanya apabila sudah kekenyangan hingga sedawa. Pujian begini hanya di lidah saja tak menyelera hingga ke hati.
  • Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia. Dunia terlalu sedikit dibandingkan dengan akhirat. 1000 tahun di dunia setimpal dengan ukuran masa sehari di akhirat. Betapa kecilnya nisbah umur di dunia ini berbanding akhirat. Nikmat dunia juga 1/100 daripada nikmat akhirat. Begitu juga seksa dan kepayahan hidup di dunia hanya 1/100 daripada akhirat. Hanya orang yang senteng fikiran sibuk memikirkan Wawasan Dunia (WD) hingga terlupa Wawasan Akhirat (WA). Manusia yang paling cerdik ialah mereka yang sibuk merancang Wawasan Akhiratnya. Saham Amanah Dunia (SAD) tak penting, tapi yang paling penting ialah Saham Amanah Akhirat (SAA) yang tak pernah rugi dan merudum malahan sentiasa naik berlipat kali ganda. Oleh itu perbanyakkanlah menyebut-nyebut perihal akhirat supaya timbul keghairahan menanam dan melabur saham akhirat.
  • Perbanyakkan menyebut dan mengingat hal-hal kematian daripada hal-hal kehidupan. Kita sering memikirkan bekalan hidup ketika tua dan bersara tapi jarang memikirkan bekalan hidup semasa mati. Memikirkan mati adalah sunat kerana dengan berbuat demikian kita akan menginsafi diri dan kekurangan amalan yang perlu dibawa ke sana. Perjalanan yang jauh ke akhirat sudah tentu memerlukan bekalan yang amat banyak. Bekalan itu hendaklah dikumpulkan semasa hidup di dunia ini. Dunia ibarat kebun akhirat. Kalau tak usahakan kebun dunia ini masakan dapat mengutip hasilnya di akhirat? Dalam hubungan ini eloklah sikap Saidina Alli dicontohi. Meskipun sudah terjamin akan syurga, Saidina Ali masih mengeluh dengan hebat sekali tentang kurangnya amalan untuk dibawa ke akhirat yang jauh perjalanannya. Betapa pula dengan diri kita yang kerdil dan bergelumang dengan dosa?
  • Jangan menyebut-nyebut kebaikan diri dan keluarga. Syaitan memang sentiasa hendak memerangkap diri kita dengan menyuruh atau membisikkan kepada diri kita supaya sentiasa mengingat atau menyebut-nyebut tentang kebaikan yang kita lakukan sama ada kepada diri sendiri, keluarga atau masyarakat amnya. Satu kebaikan yang kita buat, kita sebut-sebut selalu macam rasmi ayam 'bertelur sebiji riuh sekampung'. Kita terlupa bahawa dengan menyebut dan mengingat kebaikan kita itu sudah menimbulkan satu penyakit hati iaitu ujub. Penyakit ujub ini ibarat api dalam sekam boleh merosakkan pahala kebajikan yang kita buat. Lebih dahsyat lagi jika menimbulkan ria' atau bangga diri yang mana Allah telah memberi amaran sesiapa yang memakai sifatNya (ria') tidak akan mencium bau syurga. Ria' adalah satu unsur dari syirik (khafi). Oleh itu eloklah kita berhati-hati supaya menghindarkan diri daripada mengingat kebaikan diri kita kepada orang lain. Kita perlu sedar bahawa perbuatan buat baik yang ada pada diri kita itu sebenarnya datang dari Allah. Allah yang menyuruh kita buat baik. Jadi kita patut bersyukur kepada Allah kerana menjadikan kita orang baik, bukannya mendabik dada mengatakan kita orang baik. Kita terlupa kepda Allah yang mengurniakan kebaikan itu.
  • Jangan sebut-sebut dan nampak-nampakkan keaiban atau keburukan diri orang lain. Kegelapan hati ditokok dengan rangsangan syaitan selalu menyebabkan diri kita menyebut-nyebut kesalahan dan kekurangan orang lain. Kita terdorong melihat keaiban orang sehingga terlupa melihat keaiban dan kekurangan diri kita sendiri. Bak kata orang tua-tua 'kuman seberang lautan nampak, tapi gajah di depan mata tak kelihatan'. Islam menuntut kita melihat kekurangan diri supaya dengan cara itu kita dapat memperbaiki kekurangan diri kita. Menuding jari mengatakan orang lain tak betul sebenarnya memberikan isyarat bahawa diri kita sendiri tidak betul. Ibarat menunjuk jari telunjuk kepada orang; satu jari arah ke orang itu tapi 4 lagi jari menuding ke arah diri kita. Bermakna bukan orang itu yang buruk, malahan diri kita lebih buruk daripadanya. Oleh sebab itu, biasakan diri kita melihat keburukan diri kita bukannya keburukan orang lain. Jangan menjaga tepi kain orang sedangkan tepi kain kita koyak rabak. Dalam Islam ada digariskan sikap positif yang perlu dihayati dalam hubungan sesama manusia iaitu lihatlah satu kebaikan yang ada pada diri seseorang, meskipun ada banyak kejahatan yang ada pada dirinya. Apabila melihat diri kita pula, lihatkan kejahatan yang ada pada diri kita walaupun kita pernah berbuat baik. Hanya dengan cara ini kita terselamat dari bisikan syaitan yang memang sentiasa mengatur perangkap untuk menjerumuskan kita ke dalam api neraka.

Demikian percambahan minda kali ini. Semoga 5 perkara yang disebutkan di atas dapat kita hayati dan diterapkan dalam kehidupan kita seharian. Sama-sama beroda semoga terselamat dari kemurkaan Allah semasa di dunia hingga ke akhirat. Amin...

Siapa Takbur Dia Dikeji


Mansur bin Ammar Rahimahullah Taala berkata; terdapat kata-kata hikmah;

· Sesiapa yang melihat-lihat keaiban diri, dia tdak akan peduli keaiban orang lain.

· Sesiapa yang tidak mengenakan pakaian takwa, dia tidak akan ditutupi dengan suatu apa pun.

· Sesiapa yang reda rezeki Allah, dia tidak akan sedih dengan apa yang ada di tangan orang lain.

· Sesiapa yang mencabut pedang kezaliman, dia akan memotong tangannya.

· Sesiapa yang menggali telaga untuk saudaranya, dia akan terjatuh ke dalamnya.

· Sesiapa yang mencabut hijab (penghadang) orang lain, akan terbukalah auratnya (keaibannya).

· Sesiapa yang memendamkan sesuatu perkara, dia akan mendapat celaka.

· Sesipa yang membahayakan dirinya, dia akan binasa.

· Sesiapa yang tidak menggunaka akalnya, dia akan dihina.

· Sesiapa yang bersifat takbur dengan manusia, dia akan dikeji.

· Sesiapa yang menyelidiki dengan mendalam sesuatu pekerjaan (perkara),dia akan berasa jemu.

· Sesiapa yang tidak berpengalaman dalam setiap urusan, dia akan dikhianati

· Sesiapa yang tahu ajal mautnya, akan pendeklah impiannya.





Monday, June 22, 2009

Dosa Harta Seorang Pekerja


Berikut adalah salah satu cabang dosa harta yang dimakan oleh sebahagian pekerja. Semuanya pasti merosakkan jiwa dan hati serta menjauhkan daripada keinginan solat, apatah lagi untuk mendapat khusyuk.

Contoh dosa harta seorang pekerja.

1.Menggunakan peralatan syarikat untuk tujuan peribadi seperti kertas, pen, faks, fotostat, menelefon anak dirumah, rakan-rakan dan lain-lain, yang mana tiada hubungan dengan kerjanya. Maka penggunaan tidak sah ini mestilah dibayar oleh pekerja sama ada secara langsung atau tidak langsung.

2.Menipu syarikat ketika membuat tuntutan wang yang digunakan seperti tuntutan kos minyak petrol, pembelian alatan untuk syarikat di luar dan lain-lain dengan membuat kos tambahan sendiri.

3.Mengambil rehat tidak sah ketika waktu bekerja. Ia akan menyebabkan pendapatan gaji seseorang tidak sepenuh miliknya.

4.Membuat tuntutan kerja lebih masa dengan perancangan. Ia pada asalnya adalah harus, tetapi menjadi haram apabila pekerja sengaja melambatkan kerjanya pada waktu biasa, dengan niat untuk melakukan kerja lebih masa atau overtime. Ini ialah salah satu bentuk penipuan.

5.Rasuah dalam membuat pemilihan. Pegawai yang bertanggungjawab memilih kontraktor untuk iklan, pembersihan, latihan dan lain-lain untuk syarikat atau organisasinya. Sebagai contohnya, pihak pegawai memilih syarikat Z daripada empat syarikat lain yang menghantar quotation kerana syarikat Z itu berjanji memberikannya sedikit imbuhan ikhlas.

Hukumnya adalah HARAM dan RASUAH dalam islam.

6.Mencipta quotation sendiri oleh pegawai atau kumpulan pegawai yang diberikan kuasa membuat pemilihan kontraktor untuk syarikat. Dia atau mereka sepakat untuk memberi kepada 1 syarikat yang mereka kenali bukan kerana kualiti dan harganya tetapi kerana sebab-sebab lain. Disebabkan oleh prosedur syarikat yang memerlukan agar quotation daripada 4 buah syarikat yang lain, pegawai ini telah mencipta beberapa quotation daripada syarikat yang tidak wujud bagi menunjukkan quotationnya adalah yang terbaik.

Hukum adalah HARAM kerana MENIPU.


7.Menaikkan harga. Seorang kakitangan diminta oleh majikan untuk mencari pembekal bahan mentah dan berjaya mencari dengan harga RM1500 tetapi menaikkannya kepada RM 2000, lalu baki RM 500 diambilnya.

Hukumnya adalah HARAM oleh sepakat ulama.

8.Menang Tender Bersyarat. Pegawai diminta oleh majikan mencari kontraktor untuk mengubah suai pejabat atau apa jua aset syarikat. Pegawai itu telah melobi syarikat B kepada majikan disebabkan dia telah mempunyai perjanjian di sebalik tabir dengan pihak syarikat B yang memberikannya izin untuk melabur wang peribadinya dalam syarikat B dengan kadar keuntungan mengikut islam kononnya. Padahal, jika tiada peluang melabur itu, sudah pasti pegawai itu tidak akan mengempen syarikat B.

Hukum tindakan sebegini adalah HARAM dalam islam dan ia termasuk dalam RASUAH BENTUK BARU dan berselindung di sebalik aktiviti pelaburan islam.

9.Tuntutan Palsu. Kakitangan membeli barang keperluan syarikat atau mengisi minyak dengan harga tertentu tetapi berpakat dan memohon pembekal atau stesen minyak mengeluarkan resit dengan jumlah berbeza daripada jumlah pembeliannya. Berbekalkan resit itu, pegawai membuat tuntutan kepada syarikat dengan harga berlipat kali ganda. Ini yang berlaku dalam kes-kes di atas.

Hukumnya adalah HARAM menurut islam kerana membuat penipuan kepada syarikat. Pihak pembekal juga berdosa kerana dikira bersubahat mengeluarkan resit berjumlah palsu itu.

10.Resit Harga Ciptaan. Kakitangan membeli barang untuk kegunaan syarikat dari satu kedai, dan kedai tersebut enggan bekerjasama untuk menaikkan harga dalam resit. Bagi meraih keuntungan, pihak pegawai telah mencipta resit sendiri berserta cop palsu.

Hukumnya adalah HARAM dalam islam kerana PENIPUAN.

11.Ambil Untung Sendiri. Pegawai diberi oleh syarikat bajet maksimum sebanyak RM 5000 untuk membeli satu barangan keperluan syarikat. Pegawai berjaya mencari di pasaran terbuka barang yang diperlukan dengan harga RM4000 sahaja. Bagi mendapat manfaat, si pegawai telah berpakat dengan penjual agar dituliskan harga RM5000 dalam invoice dan baki RM1000 hendaklah diberi kepadanya.

Hukumnya adalah HARAM kerana penipuan dan wang khianat sebagaimana yang di sebut oleh Nabi Muhammad S.A.W. Bagaimanapun, jika ia berterus terang dengan majikan sambil memohon sebarang insentif atas kejayaannya mengurangkan kos syarikat kerana kecekapannya mencari barang yang lebih murah, tatkala itu, majikan harus memberikannya jika ia tidak menyalahi mana-mana undang-undang syarikat. Jika tidak, majikan akan mengambil kira kejayaan itu dan membayarnya dalam bonus dan kenaikan gaji apabila sampai waktunya sahaja.

Wang yang diperolehi daripada kerja yang telah diberi gaji. Ramai individu yang cuba mendapat side income daripada cara-cara yang disebut tadi, sambil melakukan tugasannya yang wajib. Ingatlah hadis berikut,

Nabi bersabda yang bermaksud:
"Barangsiapa yang telah kami ambil untuk melakukan sesuatu kerja, dan telah ditetapkan baginya sesuatu rezeki (gaji atau upah), maka apa yang diambilnya selepas itu adalah ghulul (pengkhianatan) " (Riwayat Abu Daud)

MAKA JAUHILAH...REZEKI DUNIA YANG HARAM PENYEBAB KEPADA PENYESALAN DI AKHIRAT

oleh Ustaz Zaharuddin